Salam dan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang mengikuti laman blog saya. Banyak respon yang saya terima bagi Dilema Mamak: Bahagian I. Saya mengakui setiap orang mempunyai perspektif dan pandangan sendiri. Setiap pandangan adalah pandangan yang membina. Saya gunakan fakta sejarah berserta dengan pengalaman hidup saya sendiri untuk membentangkan perbincangan saya tentang komuniti mamak di Malaysia. Tidak ada objektif untuk menyentuh isu sensitif. Harap fahami bahawa tulisan saya ini adalah lebih kepada dimensi akademik yang kritis. Objektif adalah untuk melahirkan integriti yang teguh sebagai mamak dalam masyarakat majmuk Malaysia dan tidak melupakan sejarah kita dalam arus transformasi yang berlangsung pada masa sekarang.
Dalam bahagian ini ingin saya membincangkan tentang sumbangan komuniti Mamak dalam pembinaan negara ini. Kebanyakan kajian tentang sumbangan Mamak difokuskan kepada komuniti mamak di Penang kerana ia merupakan lokasi utama masyarakat mamak menetap di Malaysia. Kumpulan mamak yang menetap di sini dan berkahwin dengan wanita Melayu, melahirkan satu komuniti yang dikenali sebagai Jawi Peranakan. Ramai yang berketurunan Jawi Peranakan menafikan diri mereka sebagai mamak pada masa kini dengan alasan tertentu.
Kajian tentang komuniti mamak di negeri-negeri lain adalah terhad dan memerlukan penyelidikan lanjut. Saya syorkan NGO komuniti mamak mengambil perhatian tentang ini di negeri masing-masing. Saya tidak menemui kajian yang cukup tentang komuniti mamak di Port Dickson yang merupakan kawasan petempatan utama mamak di Negeri Sembilan. Saya mendengar kisah-kisah daripada arwah datuk dan arwah ayah tentang bagaimana Dato’ A.S. Dawood mengasaskan perniagaannya di sana, selepas itu memperkembangkannya di Seremban serta berpusatnya komuniti mamak di Kampung Arab, P.D. Saya pernah menghadiri banyak majlis bersama arwah ayah di sana. Masa itu saya bertemu dengan kaum tua mamak yang memakai songkok Turki yang lebih tinggi daripada songkok Melayu. Arwah datuk pun memakai songkok Turki yang sama juga. Ini menunjukkan pengaruh Turki yang kuat ke atas komuniti mamak. Sebenarnya songkok berasal dari Acheh, diperkenalkan ke Tanah Melayu oleh pedagang Acheh yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang Chulia pada abad ke 16, 17 dan 18.
Seorang lagi tokoh Mamak dalam sejarah iaitu arwah Tan Sri S.O.K Ubaidulla pernah hidup di Seremban pada tahun 1930an. Kajian mengenai tokoh ini saya telah lakukan sebagai syarat penyelidikan sejarah di Universiti Malaya. Banyak fakta menarik saya perolehi daripada tokoh yang menunjukkan golongan mamak pernah memainkan peranan penting semasa pendudukan Jepun. Menurut tokoh, beliau menjadi editor akhbar yang diasaskan oleh Jepun di Seremban pada masa Perang Dunia Kedua, iaitu Seremban Wartamani (Tamil) dan Seremban News (English). Jepun juga telah membawa Ubaidulla ke Sumatera untuk dilantik sebagai pengurus penerbitan akhbar“Lampong Shimbun” di selatan Sumatera antara tahun 1943-1944. Seterusnya Ubaidulla dipindahkan ke Jawa untuk menjadi penyampai propaganda Jepun di NIRO(Netherlands East Indies Broad Casting Station). Ubaidulla dipilih oleh Jepun pada waktu itu kerana kefasihan bahasa Inggerisnya yang diperlukan oleh Jepun dalam propaganda mereka. Tan Sri Ubaidulla dalam tahun-tahun selepas kemerdekaan menjadi Senator mamak yang pertama dalam Dewan Negara. Sebenarnya ada banyak lagi fakta sejarah berkaitan dengan tokoh ini. Insya Allah saya dapat kongsikannya dalam bahagian ke III nanti.
Dalam artikel ini saya berikan fokus kepada komuniti mamak di Penang berpandukan kepada kajian yang dijalankan oleh Patrick Pillai dari Yusuf Ishak Institute (Singapura-2015). Fakta sejarah daripada seorang sejarahwan tempatan iaitu Meera Nagore dirujuk. Menurut Meera, Francis Light mendorong pedagang Mamak supaya menetap di Penang. Justeru itu Light memberikan tanah petempatan di Market Street dan Pitt Street dan membuka perniagaan berkaitan perkapalan. Menurut Meera lagi badan peringatan Nagore (Nagore Memorial) diasaskan pada tahun 1801.
Satu lagi fakta menarik dalam kajian Patrick Pillai, menyentuh tentang bagaimana nasionalis India, antaranya golongan Malabar yang membina jalanraya, rumah dan makam Sufi di Penang sekitar tahun 1825. Tambahan pula rekod tahun 1833 menunjukkan golongan Marakayar (Mericans) telah membiayai pembinaan Masjid Kapitan Kling pada tahun 1802. Dalam tulisan ini, saya menemui dua lagi nama mamak yang lain. Satu ialah mamak tongkang (mamak yang bekerja di pelabuhan) dan Kakas (Malabar Muslim) yang mahir dalam penyediaan teh tarikh dan roti canai. Menurut Meera, golongan Malabar adalah perintis dalam pembuatan teh tarikh dan roti canai di Malaysia.
Masyarakat mamak juga mempelopori pembinaan masjid di Semananjung Malaysia. Di setiap bandar di Malaysia kita boleh temui masjid Tamil Muslim. Dikatakan masjid India Muslim di Ipoh adalah seabad lamanya, begitu juga masjid di Ijok, Selangor berusia 120 tahun. Tulisan Patrick juga merujuk kepada catatan Nagata(2006) yang menyatakan “satu pertiga daripada 68 masjid di Penang diasaskan oleh India Muslim.
Mamak juga memperkenalkan institusi wakaf di Tanah Melayu. Ini bermula di Penang. Catatan Khoo Salma Nasution (2009) menyatakan bahawa wakaf diasaskan di Penang telah memelihara warisan bangunan mamak seperti masjid, perkuburan Islam, makam, rumah persendirian, rumah kedai dan bangunan pertubuhan. Chulia Street dan Pitt Street di Penang menjadi jalan perniagaan mamak yang popular. Di sini bermulanya perniagaan mamak yang terkenal seperti Othman Pillai dan Habib Jewels.
Sejarah Kumpulan Barkath juga bermula di Penang. Menurut Patrick Pillai, ia diasaskan oleh Abu Backer bin Mohd Hussain di Union Street. Manakala satu lagi syarikat besar mamak iaitu Mydin Mohamed Holdings diasaskan pada tahun 1957 oleh Mydin Mohamed di Kota Bahru, Kelantan. Pada masa kini Mydin mempunyai cawangan di semua bandar utama di Malaysia. Begitu juga Habib Jewels mempunyai cawangan hampir di semua bandar utama Malaysia.
Saya juga kagum membaca fakta-fakta lanjut yang disentuh oleh Patrick Pillai dalam tulisannya. Beliau bincang tentang Munshi Abdullah (1796-1854) yang dianggap sebagai pendita dalam persuratan Melayu juga merupakan campuran India Arab. Apa yang paling menarik dalam tulisannya ialah tentang Tun Dr Mahathir. Catatan Morais (1982), Wain (2009), dan Mahathir Mohamad (2012) dirujuk. Dikatakan bahawa “seorang Jawi Peranakan bernama Mohamad Iskandar berasal dari Penang mula menetap di Kedah dan menjadi guru besar di Sekolah Inggeris Alor Star. Dia berkahwin dengan wanita Melayu Kedah bernama Wan Tempawan Wan Hanafi.Anak mereka yang bongsu daripada 9 orang anak ialah Mahathir bin Mohamad”. Fakta ini adalah berlainan dengan khabar yang dilayangkan dalam laman sosial. Sejauhmanakah kebenaran khabar bahawa nama ayah Tun M bernama Iskandar Kutty tidak dapat dipastikan. Insya Allah jika saya berpeluang bertemu dengan Tun falm masa terdekat ini, pasti saya akan mengajukan soalan ini.
Mamak juga memainkan peranan penting dalam persuratan Melayu pada awal abad ke 20 terutamanya dalam bidang penerbitan akhbar. Khoo (2009) mencatitkan bahawa lebih kurang 16 jurnal Melayu diterbitkan oleh Jawi Peranakan. Rekod Arkib Negara menunjukkan Mohamed Said Mohiddin menjadi editor akhbar bernama The Jawi Peranakan pada tahun 1876. Pada tahun yang sama Mohiddin merintis akhbar Tamil yang pertama di negeri-negeri Selat iaitu Tankainecan. Tamil Nesan pula diterbitkan pada tahun 1924. Sebelum Tamil Nesan diterbitkan lagi, Penang sudah mempunyai Vittiya Vicarini pada tahun 1883 yang diedarkan dari Nagore. Magudum Sayabu menerbitkan beberapa akhbar Tamil seperti Singhai Varthamani, Thangai Nesan dan Singhai Nesan dalam abad ke 19 di Singapura.
Sejarah juga membentangkan bukti mengenai peranan mamak dalam perkembangan Bahasa Melayu di rantau alam Melayu. Catatan Van Ronkel (1922) menyatakan “Tamil Muslim dipercayai menjadi instrumen dalam perkembangan tulisan Jawi di Nusantara melalui golongan ulama Islam dan pencatit istana”. Patrick Pillai juga merekodkan pengaruh bahasa Tamil dan Malayalam yang memperkayakan bahasa Melayu, terutamanya Melayu Utara yang dipengaruhi oleh pelat dan perkataan Tamil. Jawi Peranakan menggunakan dialek Loghat Tanjong dalam komunikasi.
Pada masa yang lalu salah satu daripada dilema komuniti mamak adalah tentang pendidikan berdasarkan jantina. Jantina menentukan peluang pendidikan yang ditawarkan. Biasanya kaum perempuan mamak diwajibkan mempelajari hukum-hukum agama dan dididik menjaga rumahtangga dalam pendidikan tidak formal. Ada juga yang dihantar ke sekolah Tamil atau sekolah Melayu mengikut lokasi petempatan mereka. Kaum perempuan mamak yang tinggal di kawasan bandar berpeluang menimba ilmu di sekolah Inggeris. Ada juga yang pernah menjadi guru sekolah kerajaan. Saya kenal wanita mamak seperti itu di Seremban yang berpendidikan di Sekolah Convent Seremban sebelum Kemerdekaan lagi. Saya amat kagumi kefasihan bahasa Inggerisnya yang cukup mantap. Nama dia ialah Cikgu Khatijah yang pernah mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah ACS, Seremban. Arwah ayahnya merupakan perintis di dalam pembuatan cendol mamak di Negeri Sembilan. Keluarganya masih meneruskan industri ini di bawah nama Shariff Cendol yang terkenal di Malaysia.
Pelajar perempuan mamak yang tinggal di kampung-kampung Melayu pula dapat memasuki sekolah Melayu. Manakala pelajar perempuan mamak di kawasan perladangan biasanya memasuki sekolah Tamil. Sekurang-kurangnya mereka mendapat pendidikan darjah enam yang dianggap tinggi pada masa itu. Ramai yang dikahwinkan apabila menjangkau usia 16 tahun. Ramai juga yang menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan kerana kemahiran memasak mamak tiada tandingannya. Saya kenal seorang wanita mamak, arwah Fatimah bibi binti Mohammed Ismail yang sungguh mahir dalam penyediaan nasi Briyani sehinggakan pernah berkecimpung dalam industri briyani segera dengan suaminya pada tahun 1980an di Kuala Lumpur. Briyani segera itu diekspot ke luar negeri pada masa itu. Saya perlu tulis sedikit sebanyak tentang Nasi Kandar di mana sejarahnya bermula di Penang apabila wanita mamak Kadayanallur mula memperkenalkan resipi ini. Tulisan Patrick Pillai ada menyebutkan tentang wanita Kadayanallur yang mahir dalam penyediaan rempah giling dan adunan kari yang segar, biasa digunakan dalam masakan nasi kandar Penang. Pada masa yang lalu kari nasi kandar dikatakan disediakan secara khasiat ayurvedik tetapi kini resepi asal mamak ini tidak lagi diamalkan.
Pada masa yang lalu, dilema mamak dalam pendidikan anak perempuan adalah mencabar. Apabila saya sentuh zaman 1970an di Malaysia, saya boleh katakannya sebagai zaman peralihan kerana generasi kaum bapa cuba melakukan perubahan sosial dari segi peningkatan taraf pendidikan anak perempuan. Saya sendiri melalui pengalaman ini. Arwah ayah ingin memberikan saya pendidikan Inggeris di Sekolah Convent Seremban. Saya telahpun didaftarkan di sekolah berkenaan. Arwah datuk tidak bersetuju dengan keputusan arwah ayah menyebabkan pendaftaran nama saya di Sekolah Convent dibatalkan. Saya didaftarkan semula di sekolah Tamil di ladang saya. Dalam hal ini faktor penyebab bukanlah sentimen bahasa tetapi sentimen melindungi anak perempuan daripada masalah percintaan. Menurut arwah datuk, “bagaimana nak baca jika anak awak tulis surat cinta dalam bahasa Inggeris, lebih baik anak awak belajar Tamil supaya boleh diperhatikan”. Nyata bahawa fikiran konservatif menyelubungi suasana hidup masyarakat mamak pada waktu itu. Arwah ayah cuba melakukan beberapa perubahan sosial seperti menghantar saya ke universiti dan menggalakan pendidikan tanpa memikirkan tentang had umur perempuan. Saya kagum dengan arwah ayah walaupun kami mempunyai banyak batasan dan dugaan hidup. Selepas pemergian arwah ayah, saya sentiasa cuba menghidupkan cahaya pendidikan dalam keluarga. Hasilnya adik perempuan saya bernama Dr Mariam binti Hanifa berjaya melanjutkan pendidikan perubatan di Turki atas tajaan Biasiswa Kerajaan Turki dan Biasiswa Perdana Menteri Turki pada tahun 1990an. Beliau merupakan pelajar perempuan mamak pertama yang menerima anugerah tersebut di Malaysia berdasarkan hubungan diplomasi Turki dan Malaysia. Kini kita lihat transformasi pendidikan adalah lebih besar dalam komuniti mamak. Suatu yang sangat memberangsangkan dan perlu diteruskan.
Kaum lelaki mamak lebih bertuah kerana lebih banyak peluang pendidikan diberikan kepada mereka. Terdapat dilema tertentu dalam komuniti mamak pada masa itu. Pendidikan mamak sering terganggu kerana sebab keluarga dan pendudukan Jepun. Mamak mempunyai tradisi menyambung perniagaan keluarga. Kebanyakan mamak pada masa yang lalu belajar sampai LCE (Lower Certificate of Education) dan mengambilalih perniagaan keluarga. Ada yang dapat menamatkan MCE (Malaysian Certificate of Education) dan melanjutkan perniagaan keluarga atau menjawat jawatan kerajaan sebagai guru, kerani, tentera ataupun polis. Dalam kategori ini ramai kaum lelaki mamak telah meningkatkan taraf sosial mereka melalui pendidikan, keyakinan tinggi dan usaha keras ke arah matlamat. Salah seorang daripada mereka ialah Dato Seri Hj Syed Ibrahim bin Kader, Presiden Kimma yang banyak membuat jasa kepada komuniti mamak di Malaysia. Beliau juga menjadi Senator mamak yang kedua dalam Dewan Negara.
Tidak dilupakan juga Dato Hj Akhbar bin Abu Bakar, sahabat sekampung yang saya kenal di Seremban. Beliau menjadi arkitek mamak yang terkenal di Malaysia. Seorang lagi usahawan yang saya ingin merujuk di sini ialah Dato’ Seri Baharuddin yang memulakan hidupnya sebagai usahawan kecil di Seremban dan dapat mengasaskan Baharuddin Travel and Tours di Malaysia. Seorang lagi tokoh intelektual yang pernah menyandang biasiswa Kerajaan Turki dan belajar di Turki pada tahun 1970an ialah Mohammed Ali yang berkhidmat sebagai seorang professor di Universiti Brunei, juga berasal dari Seremban. Berita-berita seperti ini perlu disebarkan kepada masyarakat kita sebagai inspirasi.
Ada seorang tokoh intelektual yang saya pernah kenali secara langsung ialah Dr Hj Mohammad Talha yang banyak menyumbang dalam perkembangan pendidikan teknikal dan vokasional di Malaysia. Saya belum dapat pastikan latar belakang kehidupan Dr Talha walaupun saya pernah berkhidmat di bawahnya pada satu masa yang lalu. Kategori yang lebih bertuah adalah berasal daripada keluarga mamak elit yang dapat menghantar anak-anak mereka ke universiti-universiti di Malaysia dan di luar negeri. Antaranya, seorang yang terkenal ialah Dato’ Seri Hj Mohammad Iqbal pernah melanjutkan penggajian ekonomi di Universiti Birmingham (UK) dan Universiti Harvard (USA) selepas penggajian sarjana di Universiti Malaya. Sejauh pengetahuan saya, Dato’ Seri Iqbal merupakan graduan mamak yang pertama ke Harvard.
Ada tokoh-tokoh mamak yang mungkin saya terlepas dalam perbincangan tetapi perlukan pengiktirafan. Seorang yang masih dalam memori saya dalam zaman peralihan ialah Hj Mohammed Musa yang telah membuat banyak sumbangan dalam pengukuhan agama Islam di Negeri Sembilan pada tahun 1960an hingga kewafatannya dalam Haj pada tahun 1990. Beliau adalah sahabat akrab arwah ayah dan saya menganggap beliau sebagai bapa saudara kandung saya. Pada waktu itu tidak ada majlis keagamaan berlangsung di keluarga mamak tanpa beliau. Sempena jasanya yang besar sebuah surau dibina atas namanya di kawasan Seremban. Komuniti mamak haruslah sentiasa menghargai tokoh-tokoh yang telah berjasa tanpa prejudis.
Pada masa yang lalu dilema mamak adalah berlainan. Tidak sama sekali tentang latar belakang mereka ataupun tentang bahasa ibunda. Satu dilema besar pada masa itu adalah tentang tanahair ini. Segolongan mamak menganggap Tanah Melayu sebagai tempat mencari rezeki dan dan mereka bertekad untuk pulang ke India pada satu hari nanti. Sebab itu mereka membeli harta-benda di India. Manakala segolongan yang lain pula menganggap Tanah Melayu sebagai tanahair mereka dan mula melabur semua wang mereka di sini dan mengembangkan perniagaan mereka. Mereka menjadi golongan mamak yang berjaya. Sungguhpun begitu mereka tidak lupakan tempat asal mereka.
Jelas bahawa pada masa yang lalu, terdapat dilema berlainan dalam komuniti mamak. Pada masa sekarang dilema mamak sungguh berlainan. Mamak sekarang terperangkap di antara dua dunia di Malaysia iaitu dunia Melayu dan dunia India. Sebagai seorang Islam, mamak adalah tergolong ke dalam dunia Melayu yang Islam. Sebagai masyarakat yang bertutur dalam bahasa Tamil ataupun Malayalam, mamak tergolong dalam dunia India. Agama dan bahasa adalah sama penting kepada komuniti mamak. Mamak menghadapi dilema besar di Malaysia pada masa sekarang dalam hal persekolahan anak-anak mereka. Dilema ini berkait rapat dengan identiti mamak di Malaysia. Perkara ini saya akan bincangkan dengan lebih terperinci dalam bahagian akan datang.
Sejauhmanakah kita menyedari sumbangan kita kepada negara ini adalah suatu yang kurang nyata. Kita perlukan gerakan kesedaran diri dan perpaduan dalam masyarakat kita. Kita semakin kehilangan identiti kita sebagai mamak di negara ini. Dalam hal ini satu kajian terperinci harus djalankan oleh semua NGO mamak untuk mengenal pasti bagaimana krisis identiti di kalangan mamak dapat diatasi. Apabila identiti kita sebagai mamak negara ini jelas, tuntutan kita kepada kerajaan dalam hal pengiktirafan hak mamak dapat dibentangkan dengan lebih berkesan.
Author – Dr Nor Aishah Hanifa

