Salam saya kepada semua di sana. Rasa amat syukur untuk bertemu kembali dengan diskusi pada kali ini iaitu Identiti dan kerakyatan” di tanah tercinta ini. Golongan mamak telah dan sedang melalui perjalanan hidup yang penuh dengan cabaran sejak mereka menjejakkan kaki di bumi tercinta ini. Ramai yang berjaya mengasaskan kehidupan mereka di bumi ini. Ramai juga yang telah kembali ke India bersama-sama dengan harta pencarian mereka selepas Perang Dunia Kedua. Ada juga yang tidak kembali tetapi menghantar pendapatan mereka dari bumi ini untuk membeli harta benda di kampung halaman mereka di India. Kalangan ini percaya kepada saudara-mara mereka di sana.

Bukan selalunya perkara seperti ini berlaku dengan lancar. Arwah datuk (tatha) saya pernah ceritakan kepada saya bahawa wang ringgit yang dihantar ke tangan keluarganya di India, telahpun dipindahmilik kepada nama adiknya tanpa pengetahuan arwah datuk. Selepas itu arwah patah hati dan tidak mahu kembali ke India. Kemungkinan di antara kita ada yang melalui pengalaman yang sama.

Pada masa selepas kemerdekaan negara, dilema besar adalah tentang memilih kerakyatan Tanah Melayu atau India. Segolongan besar mengambil jalan ini iaitu tinggal menetap di Malaysia dan melawat India apabila perlu. Golongan mamak dalam kategori ini menjadi warganegara secara permohonan naturalisasi. Pemohon kewarganegaraan secara naturalisasi adalah mereka yang telahpun dilahirkan di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan. Kategori ini memegang sijil kewarganegaraan dan kad pengenalan secara serentak. Pada masa yang lalu semua golongan mamak dicatitkan sebagai keturunan India atau India Muslim dalam sijil kewarganegaraan dan sijil lahir. Hanya golongan Jawi Peranakan sahaja didaftarkan sebagai Malay Muslim kerana salah seorang daripada ibubapa mereka adalah Melayu.

Pada tahun 1950an, 1960an dan 1970an kaum mamak memang berpuas hati apabila didaftarkan sebagai keturunan India Muslim. Biasanya didaftarkan sebagai anak perempuan atau anak lelaki selepas nama pemberian ibu bapa. Segelintir kaum mamak mendapar PR atau taraf pemastautin ataupun lebih dikenali sebagai kad IC merah. Golongan ini tidak boleh mengundi dan terus berusaha untuk mendapatkan taraf kerakyatan. Ada banyak rungutan dan rasa kecewa kaum mamak tentang hal ini.

Dalam tahun 1995, Dato’ Megat Junid Megat Ayub pernah mengatakan bahawa “sincerety will be judged by the number of times they reapply, and their ability to speak and write Malay. Though some had lived in Malaysia for several generations, he said this does not automatically qualify them as citizens, especially if they spend periods in both countries and have their family in India”(New Straits Times, 20 February 1995).

Akhbar Sinar Harian (13 Mac 2014) melaporkan bahawa seramai 6000 orang kaum mamak menghadapi masalah sijil kelahiran, kad pengenalan dan kerakyatan di Pulau Pinang. Satu taklimat telah dianjurkan oleh pertubuhan KIMMA dengan kerjasama JPN untuk memberikan penerangan tentang cara membuat permohonan lengkap. Akhbar ini juga memetik tentang pendapat JPN tentang isu ini. JPN memberikan beberapa sebab mengapa kaum India Muslim menghadapi masalah ini seperti dokumen yang kurang lengkap dan kurangnya pengetahuan tentang prosedur yang betul. Ini memberikan isyarat penting kepada semua NGO India Muslim supaya mengambil tindakan membantu kalangan yang memerlukan bantuan.

Sungguhpun proses permohonan kewarganegaraan itu mengambil masa bagi kaum ibubapa, prosesnya lebih mudah bagi anak-anak yang dilahirkan di sini untuk mendapatkan kerakyatan. Ramai yang didaftarkan sebagai bin dan binti walaupun ada segelintir tidak mendapatnya bergantung kepada jabatan pendaftaran negeri yang berlainan. Saya hairan juga melihat sijil kerakyatan dan kad pengenalan arwah ayah kerana arwah mendapat bin walaupun arwah dilahirkan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada tahun 1932. Manakala ibu yang dilahirkan di Kedah pada tahun 1944 tidak mendapat binti dalam sijil kelahiran dan kad pengenalan menunjukkan pertimbangan pejabat pendaftaran negeri adalah penting dalam hal ini.

Pada masa yang lalu, kaum mamak sering menggunakan huruf tertentu yang membawa maksud tertentu dalam dokumen pengenalan mereka. Mereka tidak bimbang tentang penggunaan bin dan binti dalam nama mereka. Apabila saya membuat penyelidikan tentang arwah Tan Sri S.O.K. Ubaidulla, saya rasa kagum bagaimana kaum lelaki mamak membawa diri dan keluarga mereka dengan bangga melalui nama mereka. Huruf mewakili nama keluarganya Sinna Rawther. Huruf O pula mewakili nama datuknya yang bernama Osman. Manakala huruf K pula mewakili nama ayahnya iaitu Kadhir Basha. Gaya ini adalah suatu yang biasa pada kaum tua mamak pada waktu itu. Sehinggakan arwah ayah gemar menggunakan namanya sebagai J.K.Hanifa.

Rentetan daripada di atas, saya juga menemui satu lagi isu dalam beberapa keluarga mamak pada tahun-tahun 1940an hingga 1970an. Kebanyakan keluarga mamak mengambil berat tentang penggunaan bin kepada nama lelaki. Kaum bapa biasanya cuba sedaya upaya untuk mendapatkan bin untuk anak lelaki mereka supaya urusan luar dan perniagaan dapat dilaksanakan dengan senang. Tidak banyak usaha diambil untuk mendapatkan nama binti bagi kaum perempuan kerana pandangan tradisi bahawa kaum perempuan akan berkahwin dan menjaga keluarga.

Terdapat tafsiran tertentu dalam masyarakat tentang nama anak lelaki dalam dokumen rasmi. Kaum mamak berasa rendah diri dengan perkataan anak lelaki atau perempuan dalam dokumen rasmi mereka. Mereka berasa diri mereka sebagai “second class mamak”. Ramai yang menganggap catitan bin atau binti sebagai satu anugerah istimewa yang menjadikan diri mereka sebagai “first class mamak”, terutamanya di kalangan generasi muda. Ini kerana bin dan binti merupakan paspot untuk menikmati beberapa keistimewaan sosio-ekonomi. Kita perlu sedar bahawa catitan a/l atau bin adalah sama maknanya. Gelombang Islam yang kuat mulai abad ke 20 meliputi pemberian nama Arab iaitu bin dan binti berlaku dengan hebat di kalangan masyarakat Melayu. Arus ini melanda kaum mamak secara perlahan-lahan di Tanah Melayu. Kekuatan arus ini dapat dirasakan dalam tahun- tahun seterusnya apabila kaum mamak bertendensi untuk melihat keseragaman dengan bangsa Melayu apabila keinginan bermastautin di bumi ini semakin menebal.

Kaum mamak memang sedar bahawa kategori mereka adalah lain daripada kategori India kerana perbezaan agama. Agama Islam sebenarnya memberikan identiti khusus kepada kaum mamak. Ini membezakan kategori masyarakat India yang majoritinya beragama Hindu daripada kaum mamak. Ini bukan suatu kesalahan mamak apabila mamak menuntut kelainan identiti dalam semua urusan rasmi. Ini bukan bermakna mamak telah melupakan akar umbi mereka. Mamak sebenarnya cuba melakukan adaptasi dalam lingkaran masyarakat Islam yang lebih besar di Malaysia. Ini menyebabkan tanggapan salah timbul terhadap kaum mamak. Sememangnya kaum mamak mencari suatu identiti sebagai rakyat Malaysia yang berhemah dan beridentiti khusus.

Dilema mamak kadang kala tidak difahami oleh masyarakat lain. Dilema kita yang paling besar di bumi ini ialah hidup tersepit antara latar belakang dan agama. Kita adalah rakyat berketurunan India kerana asal-usul kita. Kita juga adalah umat Islam pada masa yang sama. Maka mamak ada dua kategori sebagai rakyat Malaysia, iaitu India dan Islam. Kita bergerak dalam dua sempadan sosial ini. Islam tidak pernah menolak keturunan dan bangsa manusia. Manakala keturunan kita adalah satu yang hakiki. Ada yang menganggapnya sebagai satu penjara, ada pula yang menganggapnya sebagai suatu taman yang indah. Ini bergantung kepada pengalaman hidup dan integriti seseorang mamak.

Tulisan Patrick Pillai ada menyatakan tentang diskriminasi sosial yang dihadapi oleh kaum mamak di Malaysia. Pertamanya, mamak dipandang sebagai pembuat roti canai dan teh tarik. Keduanya, ada mamak yang dilayan sebagai warga asing walaupun mereka tinggal menetap di bumi ini. Ketiganya, beliau merujuk kepada laporan kes buli ke atas pelajar mamak dalam kelas agama. Keempatnya, kata-kata sinis yang diluahkan terhadap mamak seperti “U bukan Melayu, U Mamak”. Kelimanya, perkataan darah keturunan kling digunakan juga untuk melakar sempadan sosial antara orang Melayu dan mamak. Saya tidak berniat meluahkan isu sensitif dalam tulisan ini. Apa yang dibincangkan adalah diskusi intelektual semata-mata, hanya merujuk kepada golongan daif yang menganggap semua orang India adalah Hindu.

Anggapan bahawa semua orang Melayu adalah Islam telah memberikan takrifan tertentu ke atas status mamak di Malaysia. Kita perlu faham bahawa perkataan Melayu adalah merujuk kepada masyarakat awal di alam Melayu. Masyarakat Melayu di Indonesia adalah terdiri daripada komuniti beragama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu. Bangsa Melayu di sana digelar sebagai orang Indonesia berdasarkan kepada semangat negara bangsa Indonesia yang dibina. Malaysia adalah berbeza dalam konteks ini kerana perlembagaan negara memberikan takrifan yang berlainan kepada konsep Melayu berdasarkan kepada semangat negara bangsa ini. Pemikiran cetek segelintir manusia menyebabkan sesuatu bangsa dipandang rendah, sungguhpun bangsa berkenaan telah memberikan sumbangan membina kepada negara tercinta ini.

Di sini saya melihat kekurangan yang terdapat pada sukatan pelajaran sejarah dalam pendidikan negara kita. Pendidikan sejarah negara kita perlu mengiktiraf jasa semua masyarakat yang telah memberikan sumbangan ke arah pembinaan negara bangsa ini termasuk semua golongan minoriti seperti kaum mamak. Saranan ini telahpun diutarakan oleh para sarjana Jabatan Sejarah Universiti Malaya (termasuk Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim) baru- baru ini (The Sun Daily pada 17 Oktober 2018). “We need to construct and build an all-encompassing historical narrative that incorporates the roles and contributions of all communities and captures the full spectrum of the Malaysian past. An inclusive historical narrative is a vital component in our quest to build a New Malaysia.”

Kekurangan kesedaran sejarah tentang jasa kaum minoriti di Malaysia menyebabkan kurangnya rasa penghargaan terhadap mereka di dalam masyarakat majmuk. Lantas timbul elemen sindiran dan cemuhan tidak bertanggung jawab terhadap sesuatu masyarakat. Lantaran status kerakyatan kaum minoriti termasuk kaum mamak dipersoalkan oleh golongan tertentu tanpa menyedari sumbangan kita kepada negara. Ini mempengaruhi hubungan antara kaum di Malaysia. Kita perlukan True History di negara kita supaya integriti dan sumbangan masyarakat minoriti seperti mamak dihargai. Saya menyokong inisiatif yang diambil oleh para sarjana Jabatan Sejarah Universiti Malaya dalam hal ini. Saya amat berharap pada suatu hari nanti nama mamak akan disebutkan dalam sejarah pembangunan politik, sosial dan ekonomi negara ini. Bukan seperti masa sekarang, nama dan sumbangan mamak disembunyikan dalam buku teks sejarah. Malah ada kalangan mamak dilayan tanpa adil.

Perkara ini dinyatakan juga dalam tulisan Patrick Pillai (Singapura, 2015). Dinyatakan bahawa pada tahun 1994, naib pengerusi Majlis Liga Muslim, Sheikh Allauddin membuat komen bahawa hospital dan pejabat pendaftaran negeri enggan membenarkan India Muslim di Penang menukar nama anak-anak mereka daripada anak kepada bin dan binti. Saya rasa ramai mamak telah menghadapi masalah ini. Terutamanya kalangan yang mempunyai catitan keturunan India dalam dokumen mereka. Biasanya anak-anak mereka menghadapi masalah. Saya juga pernah mendengar keluhan kaum mamak yang mengatakan bahawa diri mereka diperhatikan oleh pegawai pendaftaran apabila permohonan dibawa ke perhatian mereka. Tahap penguasaan bahasa Melayu dan cara berpakaian diperhatikan. Kadang kala tafsiran dibuat bahawa mamak adalah keturunan India dan dicatitkan a/l atau a/p kerana mereka bercakap dalam bahasa Tamil atau Malayalam dan berpakaian sari. Sari kini menjadi pakaian bukan Islam dalam dilema mamak. Isu ini saya akan bincangkan dalam bahagian-bahagian akan datang nanti. Insya Allah.

Kaum mamak perlu sedar bahawa penggunaan bin dan binti bukan satu keistimewaan tetapi ia adalah suatu pilihan. Kita boleh membuat pilihan tentang coretan tamadun dalam kehidupan kita. Terpulang kepada diri seseorang mamak, berapa banyak elemen tamadun Arab akan diserapkan ke dalam kehidupan mereka. Boleh dilihat dengan jelas bahawa kehidupan mamak merangkumi kombinasi tamadun India, Melayu, Arab Islam dan barat. Peratus serapan tamadun adalah berlainan bergantung kepada perspektif dan falsafah keluarga mamak itu sendiri.

Sebenarnya nama Islam ataupun Arab merupakan hak kita sebagai umat Islam. Kita berhak mengamalkan gaya nama Arab dalam kehidupan kita. Kita perlu berani dan berdiplomasi untuk menerangkan perkara ini kepada pejabat pendaftaran negeri jika ada di antara kita tidak mendapat bin atau binti dalam nama mereka. Tingkatkan musyawarah dengan agensi kerajaan untuk membuat tuntutan yang adil. Kekalkan integriti kita dalam semua urusan rasmi. Jika ada masalah, sila mendekati NGO India Muslim di kawasan kamu supaya anak-anak kita mendapat apa yang berhak untuk mereka. Selain itu pejabat-pejabat ADUN yang berhampiran juga boleh dihubungi untuk mendapatkan bantuan.

Pada masa ini, selepas penubuhan kerajaan baru PH, kelihatan tanda-tanda positif untuk melakukan kemajuan dalam isu ini. Tuntutan itu mestilah disokong oleh dasar-dasar kerajaan yang jelas. Pertubuhan-pertubuhan India Muslim perlu bersatu dalam membentangkan satu tuntutan konkrit bahawa semua umat Islam tidak kira bangsa dan keturunan diberikan bin atau binti dalam nama mereka. Solidariti NGO India Muslim adalah mustahak dalam pembentukan dasar kerajaan yang jelas.

Dasar yang jelas tentang India Muslim perlu digubal dan dipraktis di semua negeri di Malaysia supaya terdapat praktis yang seragam dan tiada campurtangan pegawai tempatan. Ini adalah hak mamak sebagai rakyat negara ini. Mamak tidak harus didiskriminasikan kerana bahasa dan pakaian kerana Islam itu persamaan, persaudaraan dan keadilan. Saya amat berharap kerajaan PH dapat melihat dan meraikan variasi mamak (dan komuniti minoriti lain) yang telah membina dan akan terus membina negara ini.

Author – Dr Nor Aishah Hanifa 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

*