Mamak, nama yang biasa kita dengar di Malaysia. Ke mana sahaja kita berjalan di Malaysia kita sentiasa terserempak dengan Restoran dan warong makanan Mamak. Kita tidak boleh lupa tentang mee goreng mamak, rojak mamak dan cendol mamak. Juga nasi kandar mamak. Golongan Mamak adalah kaum minoriti dalam masyarakat Malaysia. Kita mungkin kecil dari segi kuantiti tetapi tidak kecil dari segi kualiti. Saya juga anak seorang Mamak dan biasa mendengar satu lagi nama yang digunakan oleh masyarakat Tamil dalam pergaulan sosial. “Tulukkar” merupakan nama panggilan Mamak. Sebenarnya perkataan Tulukkar ini berasal daripada perkataan “Turukkar” yang membawa maksud orang berbangsa Turki. Ada kalanya masyarakat Tamil memanggil orang Mamak dengan nama hormat iaitu “baii” maksudnya abang. Saya pernah mendengar arwah ayah dahulu dipanggil dengan nama lain seperti “muthalali” dan “rawther”.

Nama muthalali digunakan secara meluas kerana kebanyakan golongan Mamak berniaga, bukan sahaja di bandar, juga di ladang-ladang getah dan kampung-kampung Melayu. Pernah saya melihat arwah ayah dahulu menjadi orang yang dihormati dan disegani di ladang getah di mana arwah ayah menjadi pekedai barang runcit. Setiap majlis penting dan masalah di sana, arwah ayah menjadi tetamu penting dan perantara bagi masyarakat Tamil. Ini bukan kerana orang Mamak memiliki wang ringgit yang lebih banyak tetapi kerana karisma dan pertuturan bahasa Tamil yang baik yang membentuk satu ikatan istimewa antara orang Mamak dengan masyarakat Tamil. Saya sentiasa terpegun dengan pertuturan bahasa Tamil arwah ayah dahulu walaupun beliau tidak tamat darjah tiga.

Itu adalah cerita “muthalali”. Nama “rawther” ini merujuk kepada salah satu kaum keturunan dalam golongan Mamak. Menurut sejarah, rawther ini berasal daripada keturunan Turki dan Rajput. Mereka dikatakan pedagang kuda dan bertanggungjawab memelihara angkatan gajah dan kuda dalam tentera. Biasanya mereka terlibat dalam perniagaan dan perdagangan di Malaysia. Mamak ada beberapa kategori, ada yang berbahasa Tamil, Malayalam, urdu dan Telugu. Saya merujuk semua golongan India Islam (India Selatan) sebagai Mamak. Di Seremban, semasa saya kanak-kanak lagi saya kenal dua peniaga rawther yang hebat yang memiliki kedai runcit di Paul Street (Jalan Yam Tuan). Mereka menjadi pembekal pukal kepada peniaga kecil di Negeri Sembilan pada tahun 1970an dan 1980an. Abdul Rahim and Co., dan Syarikat A.S. Dawood adalah nama-nama hebat pada waktu itu. Arwah ayah sentiasa mendapatkan bekalan barang runcit di sini. Satu lagi keunikan yang saya nampak dalam perbualan mereka ialah mereka menggunakan perkataan khas dalam pengiraan supaya hanya kelas peniaga Rawther sahaja yang dapat memahaminya.

Terdapat satu lagi kisah yang ingin saya kongsikan. Kisah ini saya dengar daripada arwah datuk saya yang bernama Jamal Rawther yang hidup sampai saya berumur 11 tahun. Katanya, beliau sampai ke Tanah Melayu iaitu Port Dickson pada abad ke 19 untuk mencari rezeki. Beliau membuat perniagaan menjual daging kambing dan kemudiannya membuka sebuah kedai runcit di bandar Port Dickson. Katanya, semasa pemerintahan British dan pendudukan Jepun, arwah datuk dan arwah pak long membekalkan barangan runcit ke kem tentera di sana. Pada masa itu barang runcit dihantar dengan kereta lembu yang dibawa sendiri oleh arwah pak long. Saya pernah melihat kedai itu di deretan kedai lama pada satu masa yang lalu. Semua anggota masyarakat Mamak sudah tentu mempunyai kisah-kisah seperti ini.

Ada banyak nama lagi digunakan dalam masyarakat Mamak seperti “attakkal” dan “vappakkal”. Attakkal adalah merujuk kepada panggilan ayah dalam mayarakat Mamak Rawther manakala panggilan vappakkal merujuk kepada panggilan ayah dalam masyarakat Mamak Malabar. Selain itu terdapat kaum keturunan lain seperti “Marakkayar”, “Kayalar” dan “Lebbai” dalam golongan Mamak. Marakkayar bermaksud pembina kapal dan mereka terlibat dalam perdagangan. Marakkayar ini dikenali sebagai Merican pada masa sekarang. Kayalar merupakan pedagang Tamil Muslim yang mempunyai asal-usul dari Maharashtra. Manakala golongan Lebbai pula merupakan keturunan ahli ulama Islam.

Apa yang sangat unik di Malaysia ialah nama Mamak itu sendiri. Saya kurang pasti adakah nama ini digunakan di India Selatan untuk merujuk kepada masyarakat India Muslim. Tetapi masyarakat Melayu menggunakan nama ini dengan meluas sehingga kita tidak lagi gunakan nama keturunan kita di sini. Semua kaum keturunan kita dipanggil sebagai Mamak dalam pergaulan sosial. Mengapakah kita dipanggil Mamak? Mamak berasal daripada perkataan Tamil, “mama” yang membawa maksud saudara sebelah ibu. Bagi masyarakat kita mama mempunyai status istimewa selepas bapa dalam sesebuah keluarga. Mama menjadi pengganti bapa apabila seseorang Mamak kehilangan ayah mereka. Ini adalah tradisi keluarga Mamak. Adalah suatu yang mengharukan kita apabila kaum keturunan kita dipanggil sebagai Mamak. Ini menunjukkan bagaimana masyarakat Melayu memandang kita sebagai saudara sebelah ibu yang merupakan satu pertalian akrab. Keadaan ini bukan terjadi begitu sahaja. Ada latarbelakang yang menarik di sebalik panggilan ini.

Saya perlu balik ke zaman sejarah Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke 15 untuk membentangkan beberapa fakta menarik. Menurut Prof Muhammad Yusuf Hasyim, pedagang Tamil Muslim memainkan peranan penting dalam istana kerana mereka mengahwini puteri Sultan dan pembesar lain. R.O.Winstedt pula berkata bahawa pedagang India Muslim telah mengahwini puteri Sultan dan Bendahara Melaka. Sejarah Melayu merupakan satu sumber utama dalam kajian Kesultanan Melayu Melaka. Menurut sumber ini, pada masa pemerintahan Sultan Muhammad Syah, terdapat satu jawatan yang dikenali sebagai “Seri Nara Diraja”. Seorang pedagang Tamil Muslim bernama Mani Purindam (pedagang intan) berkhidmat sebagai Seri Nara Diraja. Anak lelaki Mani Purindam bernama Tun Ali kemudiannya menjadi Seri Nara Diraja. Seterusnya cucu Tun Ali bernama Raja Kassim menjadi Sultan Melaka dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah. Jelas di sini bahawa golongan Mamak tidak boleh dipisahkan daripada jurai keturunan Kesultanan Melayu Melaka.

Satu lagi fakta menarik daripada Sejarah Melayu ialah kisah Tun Fatimah, puteri Bendahara Tun Mutahir adalah keturunan Mamak, dikahwini oleh Sultan Mahmud Shah yang membawa dirinya ke Kampar, Sumatera apabila Melaka ditakluki oleh Portugis. Rekod-rekod Tome Pires, seorang pelayar Portugis membuktikan peristiwa ini. Keturunan Sultan Mahmud Shah dan Tun Fatimah yang bernama Raja Ali ditabalkan sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Allauddin Riayat Shah I pada tahun 1528. Di sini kita boleh melihat dengan jelas golongan Mamak adalah unsur sebati dalam golongan pemerintah Johor.

Dalam tulisan Prof Muhammad Yusuf Hasyim, dapat dibaca bahawa golongan Tamil Muslim menjawat jawatan penting dalam Kesultanan Melayu Melaka seperti Bendahara Mutahir, Temenggung Tun Tahir dan Temenggung Tun Hassan. Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, pedagang Tamil Muslim beralih ke Kedah, Perak, Johor dan Acheh. Prof Arasaratnam menggunakan nama “Chulia” apabila menulis tentang pedagang Tamil Muslim yang aktif menjalankan perdagangan kain, bijih timah dan lada hitam. Satu lagi nama sejarah bagi pedagang Tamil Muslim ialah Chulia, berasal daripada perkataan Chola, sebuah kerajaan terkenal di Selatan India.

Prof Arasaratnam juga merekodkan tentang kedudukan pedagang Chulia di istana Perak pada abad ke 17. Dikatakan pemerintah Perak menggunakan kapal pedagang Chulia untuk mengekspot bijih timah. Tambahan pula, di Perak dan Kedah, pedagang Chulia digunakan oleh Sultan untuk mendapatkan harga yang baik bagi komoditi negeri mereka. Hubungan ini menjadikan pedagang Chulia dapat menembusi sistem politik negeri-negeri berkenaan. Dikatakan jawatan “saudagar raja” dijawat oleh pedagang Chulia untuk mengurusan perdagangan keluarga raja di negeri- negeri Melayu pada abad ke 17. Tambah Prof Arasaratnam lagi, pengaruh pedagang Chulia di negeri Kedah adalah lebih hebat. Seorang pedagang Chulia bernama Jamal meningkat tarafnya menjadi penasihat Sultan dengan gelaran Datu Seri Raja pada abad ke 18.

Persaingan perdagangan antara pedagang Chulia dan British berlangsung agak lama di alam Melayu. Pada abad ke 18, ada perubahan berlaku pada perspektif pedagang Chulia. Mereka mula menetap di Fort Cornwallis apabila British membuka pengkalan di Pulau Pinang pada tahun 1786. Kapal-kapal pedagang Chulia belayar dari Nagore dan Nagapatnam menuju Penang dan seterusnya belayar ke Ujung Selang, Melaka, Acheh dan Pedir. Mereka menjadi kelas pedagang dan peniaga yang kaya dan mula membawa keluarga mereka atau berkahwin dengan wanita Melayu serta menetap di Penang. Rekod-rekod Francis Light membuktikan bahawa kapal Chulia membawa masuk 1500-2000 kaum lelaki setiap tahun yang berkhidmat sebagai pekerja biasa di Penang.

Fakta sejarah di atas saya bentangkan berdasarkan kepada hujah Prof Arasaratnam yang merupakan sarjana sejarah yang telah mengkaji sejarah awal masyarakat Chulia di alam Melayu berdasarkan kepada rekod-rekod British. Saya amat bertuah kerana dapat bertemu dan mendengar ceramah beliau pada tahun 1989 semasa saya menjadi siswazah sejarah di Universiti Malaya. Saya kagum dengan penemuan beliau tentang butiran sejarah masyarakat Mamak pada abad ke 15. 16. 17 dan 18 dan ini membantu saya dalam memahami jalan sejarah Mamak. Apa yang saya sampaikan di sini adalah ringkasan sahaja menepati objektif penulisan artikel ini.

Gelaran Mamak ini diberikan kepada kita kerana jasa kita kepada saudara Melayu di Tanah Melayu sebagai penasihat politik dan ekonomi kepada raja-raja Melayu. Golongan Mamak juga diterima oleh saudara Melayu melalui perkahwinan dengan keluarga bangsawan Melayu dan rakyat biasa. Gelaran ini adalah gelaran penghormatan bagi masyarakat Mamak kerana dapat membentuk satu hubungan istimewa dengan saudara Melayu. Pada masa kini, ada cemuhan dilemparkan ke atas nama Mamak sebagai “Mamak Keling” tanpa menyedari asas hubungan kita. Sehinggakan Tun Mahathir pun pernah dicela sebagai Mamak Keling pada masa yang lalu oleh golongan yang daif. Kini saya lihat golongan Mamak berjuang mempertahankan nasib mereka di bumi ini. Saya akan menyentuh tentang dilema kita dalam artikel akan datang. Apa yang saya ingin sampaikan ialah Mamak perlu hidup dengan martabat sebagai Mamak di bumi ini. Identiti kita sebagai Mamak harus dikekalkan di bumi ini kerana saudara Melayu menghormati kita apabila kita perkasa dengan identiti kita sendiri. Kelainan adalah suatu keistimewaan dalam masyarakat majmuk. Kita pernah hidup di bumi ini dengan martabat sebagai pembimbing dan penasihat kepada saudara Melayu kita. Kita memperkasakan ekonomi bumi ini. Kita pernah menjadi tunggak ekonomi Kesutanan Melayu di bumi ini.

Mengapakah segelintir dalam masyarakat Mamak berasa rendah diri untuk menyatakan diri mereka sebagai Mamak? Sungguhpun masyarakat kita mempunyai kegemilangan sejarah di Alam Melayu, ramai yang berasa malu dan dimalukan, ditertawakan, dipandang rendah oleh komuniti lain. Kita adalah komuniti terbilang dan telah mengambil bahagian dalam pengasasan kerajaan Melayu dan perkembangan Kesultanan Melayu di rantau ini. Kita adalah salah satu unsur sebati dalam masyarakat Melayu. Sejarah adalah buktinya. Ke mana hilangnya integriti kita sebagai Mamak dalam negara ini?

Ada banyak persoalan yang timbul memikirkan tentang masyarakat kita yang sedang tersungkur menuntut hak mereka di negara ini. Saya menjemput semua Mamak di Malaysia mengadakan satu gerakan mengenali diri mereka, siapakah Mamak sebenarnya dan ke manakah hala tuju Mamak di negara ini? Apakah asas tuntutan kita sebagai Mamak? Apakah masa depan generasi Mamak? Jom, bersama-sama kita menjalankan Gerakan Kenali Diri” supaya Mamak tidak lenyap dari sejarah negara ini. Hanya dengan berlangsungnya gerakan ini di setiap keluarga Mamak, hak kita sebagai rakyat negara tercinta ini menjadi lebih jelas dan benar. Jangan anggap ini sebagai ketakburan etnik. Saya tidak akan mendorong pemikiran sempit tentang keagungan bangsa dan tamadun. Apa yang saya ingin melihat adalah perubahan fikiran masyarakat Mamak yang dapat melihat kegemilangan kita dan dapat pula menghormati pencapaian masyarakat lain. Cuba lihat ini dalam suatu dimensi yang lebih luas sebagai hak kemanusiaan kita. Tolong sebarkan mesej ini kepada semua lapisan masyarakat Mamak. Terima kasih.

Author – Dr Nor Aishah Hanifa 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

*